Nurul Umairah

Nurul Umairah

Thursday, February 26, 2009

seminar takhrij hadith

seminar takhrij hadith di masjid wilayah kuala lumpur : 8pagi hingga 5petang

Saturday, February 21, 2009

KENALI KITAB TAFSIR AL-QURAN DAN AL-HADITH

NAMA KITAB : KITAB ALMUSTADRAK AL-HAKIM

1.0 PENGENALAN RINGKAS PENGARANG KITAB

1.1 Biodata Imam al-Hakim

Nama penuh beliau ialah al-Imām Abi cAbdullah Muhammad bin cAbdullah al-Macruf bi al-Hākim al-Naisābūrī al-Hāfiz. Dikalangan para muhaddith (ahli hadith), beliau lebih dikenali dengan nama abu Abdillah al-Hākim al- Naisābūrī. Al-Hākim merupakan gelarannya dalam bidang hadith yang membawa pengertian seorang muhaddith yang meneliti dan menguasai seluruh hadith yang diriwayatkan, sama ada dari segi matan, sanad, kelemahan dan keunggulan seorang perawi hadith.

Beliau dilahirkan pada 12 Rabicu al-Awwal 321 Hijrah, bersamaan 933 Masihi di Naisābūr, Iran, tetapi ada juga yang mengatakan al-Hākim lahir pada 3 Rabicu al-Awwal pada tahun yang sama pada waktu pagi. Beliau wafat pada 405 Hijrah bersamaan 1014 Masihi pada usia 84 tahun. Al-Hākim pernah menjawat jawatan sebagai qadi (hakim) di Naisābūr pada tahun 359 Hijrah. Kemudian diperkenalkan sebagai hakim di Jurjan yang terletak di wilayah Iran, tetapi beliau menolak tawaran itu.

1.2 Pendidikan al-Hakim

Al-Hākim mendapat pendidikan awal daripada bapa dan bapa saudaranya sendiri. Sewaktu umurnya mencecah sembilan tahun, beliau mempelajari tentang ilmu hadith , dan sejak berumur 13 tahun lagi beliau mempelajari ilmu dengan lebih terperinci daripada gurunya Abu Ḥātim bin Ḥibban atau lebih dikenali sebagai Ḥibban. Gurunya tersebut merupakan seorang tokoh hadith yang dikenali, dan pernah mengarang Kitab Sunan Ibnu Ḥibban. Al-Hākim berhijrah dari Naisābūr ke cIraq ketika umurnya 40 tahun, kemudian beliau menunaikan haji dan bermusafir ke Khurasan dan Warac al-Nahru.

Ibnu Q̣aḍi Syucbah berkata: “Hākim al-Naisābūrī menuntut ilmu semenjak kecil, beliau mengajar ketika berumur 30 tahun. Beliau selalu melakukan perjalanan untuk memuntut ilmu dan mendengar ilmu lebih daripada 2,000 orang guru. Beliau mempelajari ilmu fiqh dengan beberapa orang guru antaranya ialah, anak kepada Abu Ḥurairaḥ r.a., Imām Abu Shạ̣l al-Syacluki dan lain-lain lagi.[1]

Satu kumpulan pendapat ada mengatakan bahawa, guru al-Hākim sebanyak 1000 orang dari Naisābūr dan 1000 guru lain, dari negeri yang berlainan. Beliau mendalami tentang ilmu hadith dengan Abī Sahl sebelum berpindah ke cIraq, dan belajar dengan Abī cAli bin Abī Hurairah selepas berhijrah ke cIraq. Al-hākim bersahabat dengan ahli Tasawwuf iaitu, Abī Umar bin Muhammad dan kumpulan yang lain. Beliau juga bersahabat dengan Abī Bakr al-Ḍobi dalam perbincangan dalam sesuatu bab seperti ilmu al-Jarh, al-Tacdil, dan cillal. Beliau juga pernah diwasiatkan untuk menguruskan Sekolah Dār al-Sunnah dan diberi pengiktirafan apabila tamatnya belajar dari cIraq.

Semasa al-Hākim berada di cIraq, pada tahun 340 Hijrah, beliau berjumpa dengan para huffaz dan bermuzakarah dengan ramai guru serta berbincang dengan Dār al-Qutnī secara bersendirian dan sentiasa bersama dan belajar dengan gurunya tentang kitab karanganya iaitu al-Mustadrak. Selain itu, beliau juga belajar dan mendengar pendapat daripada Abū Bakr al-Qattān.

Ramai ulamak yang terkenal telah didampingi oleh al-Hākim dan beliau mengambil kesempatan dengan persahabatannya itu untuk belajar sebanyak mana yang mungkin.

1.3 Diantara Murid0Murid al-Hakim[2]

i. Ahmad bin al-Husīn Abū Bakr al-Baihaqī

ii. Abū Bakr Ahmad bin cAli al-Syairāzī

iii. Abū cUthmān Ismāc īl bin cAbd al-Rahman al-Ṣābūni

iv. Abu Yucla al-Khallīlī al-Qazwīnī

v. Abū Dār al-Harawī al-Anṣārī al-Kharāsānī

vi. Abū al-Qāsim al-Qasyīrī

1.4 Diantara Guru-Guru al-Hakim

Imam al-Hākim diriwayatkan mempunyai guru yang terlalu ramai. Sesetengah pendapat mengatakan guru Imam al-Hākim adalah seramai 1,000 orang. Diantara mereka ialah[3] :

  1. Muhammad ibn Yackub bin Yūsuf al-Naisābūrī
  2. Al-Hāfiz cAlī bin Hamsyādh
  3. Muhammad bin Ahmad
  4. Abū cAbdullah al-Aṣ̣bahani
  5. Abū zakaria al-cAnbari al- Naisābūrī
  6. Abū Hāmid al-Sarrāmi al- Naisābūrī
  7. Abū cIsa al-Baghdādi
  8. Abū cAli al-Naqari al-Kufi
  9. AbūcAli bin Hurairah al- Baghdādi
  10. Muhammad bin Sulaimān
  11. Abū Hasan al-Dāraqutnī
  12. Muhammad bin Sulaimān al-Hanafī

1.5 Karya-karya Imam al-Hakim

Al-Hākim al- Naisābūrī telah meninggalkan karya-karya yang cukup banyak. Beliau menetapkan kriteria kesahihan hadith-hadith mengikut pendapatnya sendiri sehingga kitab yang dihasilkan oleh beliau dianggap sebagai hadith sohih tambahan kepada kitab Ṣaḥiḥ al-Bukhāri dan Ṣaḥiḥ Muslim. Antara hasil karya beliau ialah :

i. Al-Mustadrak cala al-Soḥīḥain, iaitu kitab yang mengandungi himpunan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhāri dan Muslim, berdasarkan kriteria kedua-keduanya atau salah satu daripadanya.

ii. Takhrīj al-Ṣoḥīḥain (Penelitian kesahihan Hadith)

iii. Tārīkh al-Naisābūr (Sejarah Naisābūr)

iv. Faḍāil al-Imām al-Syāfcie (Keunggulan Imam Syafice)

v. Faḍāil al-Syuyūkh (Keunggulan Para Guru Hadith)

vi. Tārīkh Ulama’ al-Naisābūr (Sejarah Ulamak Naisābūr)

vii. Al-Madkhāl fī Uṣūl al-Hadīth (Pengantar Kaedah Hadith)

viii. Kitab al-Arbacīn

ix. Al-Amālī

x. Kitab al-Duca

xi. Al-Ḍucafac

xii. cIllal al-Hadīth

xiii. Ma crifat al-culūm al-hadīth

Kitab-kitab seperti yang disebut dijadikan rujukan oleh para muhaddith generasi berikutnya hingga sekarang.[4] Menurut riwayat, karangan Imam al-Hākim lebih kurang 1,500 juz.

2.0 PENGENALAN KITAB AL-MUSTADRAK ‘ALA AL-SOHIHAIN:

Kitab al-Mustadrak cala al-soḥiḥain karangan Imam al-Hāfiz Abi cAbdullah Muhammad bin cAbdullah al-Hākim al-Naisābūrī atau Imam al-Hākim al-Naisābūr memuatkan hadith-hadith sohih yang tidak terdapat dalam kitab Ṣoḥiḥ Bukhāri dan Ṣoḥiḥ Muslim atau salah satu daripadanya yang mana hadith-hadith tersebut memenuhi syarat sohih Bukhāri dan Muslim atau salah satu daripadanya. Manakala hadith-hadith yang tidak ada dalam Ṣohih Bukhāri dan Muslim, Imam al-Hākim berijtihad iaitu mengeluarkan pendapat beliau sendiri mengenai kesahihan hadith tersebut berdasarkan syarat Imam Bukhārī dan Muslim atau salah satu daripadanya.[5]

Kitab al-Mustadrak terdiri daripada 6 buah jilid, dan mengandungi 52 kitab atau tajuk besar. Bagaimanapun, hanya lima jilid sahaja yang mengandungi perbahasan hadith-hadith. Manakala jilid yang keenam ialah indeks(fihris) bagi kelima-lima buah kitab al-Mustadrak. Jilid pertama mengandungi 13 kitab (bab) , jilid kedua mengandungi 13 kitab, jilid ketiga mengandungi 5 kitab, manakala jilid keempat pula hanya mengandungi 1 kitab iaitu ma’rifat al-sahabat bersambung hingaa ke jilid yang kelima dan di tambah 20 kitab lagi.

Kitab ini telah diterbitkan oleh tiga penerbit yang berbeza dalam tahun yang berbeza. Kitab al-Mustadrak yang diterbitkan oleh Dār al-Macrifah, Beirut Lubnan diterbitkan pada tahun 1998. Terbitan ini merupakan terbitan yang terbaru. Manakala terbitan yang lama pula diterbitkan oleh Dār al-Kutub pada tahun 1990 dan penerbit Dār al-Fikr, Beirut Lubnan yang menerbitkan kitab al-Mustadrak pada tahun 1986. Perbezaan teknikal dalam pernerbitan kitab ini dapat dilihat dari segi ketebalan kitab, warna kulit kitab, dan bilangan jilid kitab.

3.0 METODOLOGI PENYUSUNAN KITAB AL-MUSTADRAK

Dalam perbahasan mengenai manhaj atau metodologi yang digunakan oleh Imam al-Hākim, al-Hākim meletakkan syarat sahih Imam Bukhārī dan Imam Muslim atau salah satu diantaranya dalam menentukan sesuatu hadith itu diterima atau tidak. Walau bagaimanapun, al-Hākim tidak menghadkan sahih Imām Bukhārī dan Muslim sebagai syarat sesuatu hadith itu sahih[6].

Al-Hākim dalam mentashihkan hadith, melihat kepada sanad hadith tersebut, samada mereka termasuk dalam kalangan sanad yang diriwayatkan oleh Imam Bukhārī dan Imam Muslim, diantara salah satu daripadanya atau tidak. Ibnu Ṣolāh berkata tentang hadith dalam kitab Al-Mustadrak :

“ Al-Hākim mengambil berat dengan Abu cAbdullah al-Hāfiz tentang menambah bilangan hadith sohih daripada hadith-hadith Imam al-Bukhārī dan Imam Muslim, berdasarkan syarat-syarat kedua-dua imam tersebut. Al-Hakim mengeluarkan hadith berdasarkan riwayat Kitab Imam al-Bukhari dan Muslim, atau syarat Bukharī sahaja, atau syarat Muslim sahaja. Dan sekiranya tidak menepati syarat Imam Bukhāri dan Muslim, maka Imam al-Hakim akan berijtihad dalam mentashihkan sesebuah hadith”[7] oleh itu, dalam Kitab al-Mustadrak ini, adanya hadith yang diriwayatkan marfu cdan yang lainnya mauquf. Kita melihat penambahan ini dari sudut “Thiqah maqbul dengan mutlaq”

Selain itu, Al-Hākim melakukan ijtihad dalam mentashih sesebuah hadith sekiranya hadith itu tidak menepati syarat imam Bukhārī dan Imam Muslim ataupun salah atu daripadanya. Dan hadith tersebut akan dinyatakan sebagai “sahih al-Isnād[8]

3.1 Jenis-jenis hadith yang terdapat didalam kitab al-Mustadrak al-Hākim :

Terdapat beberapa jenis hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Hākim dalam kitabnya. Diantara ialah :

Pertama : Hadith-hadith sahih yang menepati syarat sahih Imam Bukhārī dan Imam Muslim, atau syarat salah satu daripada mereka dan hadith tersebut dinyatakan sahih daripada kedua-dua imam atau dengan perkataan “sahih mengikut syarat Bukhārī” atau “sahih mengikut syarat Muslim” atau “sahih mengikut syaikhāni[9]

Kedua : Hadith sahih disisi Imam al-Hākim. Hadith ini tidak menepati syarat Imam Bukhārī mahupun Imam Muslim. Maka hadith seperti ini akan dinyatakan sebagai “sahih al-Isnad[10]

Ketiga : Hadith yang tidak sahih disisi imam al-Hakim. Jatuh kepada taraf Docif.

Keempat : Hadith yang didiamkan oleh Imam al-Hakim tentang hukum hadith tersebut.

3.3 Metodologi dari sudut teknikal kitab : (jilid 1)

Walaupun mempunyai 6 jilid kitab, namun penggunaan metodologi kitab oleh penulis kitab tidak berubah dan tidak berbeza, kecuali pada kitab al-Mustadrak yang dicetak oleh 2 penerbit yang lain[11]

1. Kitab al-Mustadrak al-Naisaburi dimulai dengan muqaddimah oleh Imam al-Hakim sendiri serta mempunyai ulasan serta perbahasan tentang Kitab al-Mustadrak al-Naisābūrī pada permulaan kitab jilid pertama.

2. Pada pemulaan kitab (tajuk) tidak dimulakan dengan basmallah, kecuali pada muqaddimah. Berbeza dengan kitab terbitan Dār al-fikr dan Dār al-Kutub yang mana menyebutkan basmallah pada setiap permulaan kitab.

3. Kitab / tajuk diboldkan dan di nomborkan secara bersambung dari jilid pertama hinggalah jilid yang kelima.

4. Perkataan seperti “haddathanā, akhbarnā, qāla, akhbarnī, waqīla, wabihāzihi, wa qad ruwiya, ammā hadīth” diboldkan.

5. Untuk menampakkan kekemasan dan memudahkan pembaca, penulis meletakkan nombor pada setiap hadith dan mengasingkan hadith mengikut perenggan-perenggan.

6. Sanad hadith tidak diletakkan baris dan tulisan tidak diboldkan . Manakala matan hadith dihitamkan dan diletakkan baris.

7. Menggunakan nota kaki untuk memudahkan pembaca memahami hadith.

8. Taraf hadith dinyatakan di akhir hadith beserta dengan penerangan.

9. Nama kitab/tajuk di tulis dibahagian sebaris dengan muka surat.

10. Bersaiz sederhana besar dan mempunyai ketebalan yang berbeza mengikut setiap jilid kitab.



[1] Prof. Dr. Manic cAbd Halim Mahmud.2006. Metodologi Tafsir: Kajian Komprehensif Metod Para Ahli Tafsir. Rajawali Persatuan Citra Niaga Buku Pergeruan Tinggi Jakarta. Hlmn : 133

[2] Suyuti ‘Abd al-Manas & ‘Ismail Abdullah.2002. Manahij al-Muhaddithin. Al-Jamiah al-Islamiyyah al-‘Alamiyyah Malaysia. Hlmn: 110

[3] Suyuti ‘Abd al-Manas. & ‘Ismail Abdullah.2002. Manahij al-Muhaddithin. Al-Jamiah al-Islamiyyah al-‘Alamiyyah Malaysia Hlmn: 109

[4] Suyuti cAbd al-Manas & Ismail cAbdullah.2002. Manāhij al-Muhaddithīn. Al-Jāmicah al-Islāmiyyah al-cAlamīyyah Malaysia. Hlmn 110

[5] Dr. Yusuf Abd al-Rahman al-Marīsyili. 1998. Fihris al-Ahādith al-Mustadrak cala al-Ṣohīḥain. Dār al-Macrifah Beirut Lubnan. hlmn 5.

[6] Suyuti Abd al-Manas & Isma cil cAbdullah. 2002. Manahij al-Ahadith. Al-Jamiah al-Islamiyyah al-‘Alamiyyah Malaysia . Hlmn 114.

[7] Suyuti cAbd al-Manās & Ismā cil cAbdullah. 2002. Manāhij al-Ahādith. Al-Jamiah al-Islamiyyah al-‘Alamiyyah Malaysia . Hlmn 114.

[8] Hadith yang diijtihadkan Imam al-Hākim tentang kesahihannya.

[9] Merujuk kepada Imam Bukhari dan Imam Muslim

[10] Mengikut ijtihad Imam al-Hakim

[11] Penerbit Dār al-Kutub dan Penerbit Dār al-Fikr Beirut Lubnan.