Nurul Umairah

Nurul Umairah

Monday, March 30, 2009

Nasi Lemak + Teh Tarik

NASI LEMAK secara tidak rasminya sudah menjadi hidangan wajib bagi orang Melayu.Tiada yang boleh mengatasi keenakan nasi putih yang wangi baunya, dimasak dengan santan kelapa dan dibungkus dalam daun pisang serta diperlazatkan lagi dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, telur dan timun yang menyelerakan.



Setelah itu ia disudahi dengan tegukan segelas teh tarik – teh yang manis bersusu. Teh tarik juga secara kebetulan menjadi minuman tidak rasmi bagi rakyat Malaysia. Tetapi malangnya, mengambil nasi lemak dan teh tarik untuk sarapan pagi setiap hari bukan suatu pilihan yang terbaik dari segi kesihatan. Bacalah seterusnya…
Apa yang terjadi kepada nasi putih dalam badan kita? Sebaik sahaja ia dimakan, nasi putih akan ditukarkan menjadi glukosa dan akan diserap dengan cepatnya ke saluran darah. Sebarang peningkatan gula darah akan memberi isyarat kepada pankreas untuk mengeluar dan melepaskan insulin. Hormon ini akan mengarahkan sel-sel untuk mengusap glukosa. Tanpa insulin, glukosa akan hanyut terapung-apung di sekitar aliran darah, tidak dapat memasuki ke dalam sel-sel yang memerlukannya. Diabetes akan muncul apabila badan tidak dapat mengeluarkan insulin dengan cukup atau tidak dapat menggunakannya dengan baik.

Nasi putih mengandungi apa yang dikenali sebagai Indeks Glisemik (GI) yang tinggi. Ini bermakna ia akan menyebabkan peningkatan paras gula darah dan insulin secara berlanjutan. Karbohidrat yang tidak begitu mudah dihadamkan akan menyebabkan peningkatan gula darah dan insulin yang lebih rendah dan lebih perlahan. Dengan itu, ia memberi kurang tekanan terhadap jentera pembuat insulin dalam badan kita serta membantu mencegah diabetes jenis 2. Makanan-makanan seperti ini dikatakan mempunyai Indeks Glisemik yang rendah. Contohnya termasuklah gandum asli lengkap, beras perang, lain-lain jenis bijirin yang lengkap, dan kebanyakan kacang dan kekacang.

Sel-sel kita bergantung kepada satu gula tunggal ringkas iaitu glukosa, yang sebahagian besar diperlukan oleh sel-sel berkenaan untuk membina tenaga. Badan kita mempunyai mekanisme yang rumit untuk memastikan paras glukosa dalam aliran darah tidak menurun terlampau rendah atau melambung naik terlampau tinggi. Glukosa datangnya daripada pencernaan sukrosa (gula biasa) dan juga daripada karbohidrat seperti nasi, roti, ubi kentang, roti canai, dan lain-lain.